Taat kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya
adalah sifat mulia yang dituntut bagi diamalkan oleh setiap orang
Islam. Taat yang dimaksudkan itu ialah kesetiaan menjunjung serta
mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Setiap orang Islam dikehendaki menumpukan sepenuh taat setia tanpa
sedikit pun berbelah bagi kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Taat setia
yang penuh ialah mengerjakan semua perintah Allah dan meninggalkan
segala larangan-Nya.
Selain taat kepada Allah dan Rasul-Nya,
tiap-tiap seorang Islam juga diwajibkan taat dan bertangungjawab kepada
ibu bapa, pemerintah, guru, ketua atau pemimpin.
Di dalam kitab suci al-Quran, terdapat
berpuluh-puluh firman Allah s.w.t yang memerintahkan manusia agar taat
setia mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala
larangan-Nya. Demikian juga dengan firman-firman Allah yang
memerintahkan manusia agar mentaati ibu bapa, pemerintah, guru dan
sebagainya.
Firman Allah s.w.t yang memerintahkan
manusia agar takut dan bertakwa kepada Allah dan mentaati segala
perintah-Nya dalam surah Ali Imran ayat 50 dan surah asy-Syu’ra ayat
108, 110, 126, 131, 144, 150, 163 dan 179, iaitu:
“Maka oleh yang demikian, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.”Selanjutnya
firman-firman Allah yang lain memerintah manusia agar taat kepada
Allah diiringi perintah agar taat kepada Rasul-Nya, iaitu Nabi Muhammad
s.a.w.
Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 92 yang bermaksud:
“Dan taatlah kamu kepada Allah serta
taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi
perintah Allah dan Rasul-Nya). Oleh itu jika kamu berpaling (enggan
menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah bahawa
sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan
(perintah-perintah) dengan jelas nyata.”
Firman Allah diatas jelas menunjukkan
bahawa perintah agar mentaati Allah s.w.t itu adalah perintah yang
tegas, tiada sebarang tolak ansur lagi, Jika ada manusia yang enggan
mentaati perintah itu maka terpulanglah kepada dirinya sendiri.
Rasulullah s.a.w telah menyempurnakan tanggungjawabnya menyampaikan
perintah tersebut dengan jelas dan nyata.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anfal ayat 1 yang bermaksud:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai
Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: Harta rampasan
perang itu terserah) bagi Allah dan Rasul-Nya (untuk menentukan
pembahagiannya). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah
keadaan perhubungan diantara kamu serta taatlah kepada Allah dan
Rasul-Nya, jika benar kamu orang-orang yang beriman.”
Menurut sejarah Islam, firman Alah di
atas diturunkan selepas Perang Badar antara umat Islam dengan kafir
yang berakhir dengan kemenangan besar di pihak Islam.
Segolongan pemuda Islam yang turut
berjuang menyatakan tidak bersetuju jika harta rampasan perang yang
diperolehi itu dibahagi sama. Mereka mahu diberikan semua kepada mereka
dengan alasan merekalah yang berjuang mati-matian mengalahkan musuh.
Itulah sebabnya firman Allah ini diturunkan.
Di dalam firman tersebut, Allah s.w.t
memberitahu dengan tegas bahawa penentuan pembahagian harta rampasan
perang itu adalah terserah kepada Allah dan Rasul-Nya. Pemuda-pemuda
itu tidak berhak hendak menuntut demikian. Mereka diwajibkan taat
kepada perintah Allah. Allah s.w.t juga menasihati mereka agar membaiki
perhubungan silaturrahim antara mereka sebagai bukti bahawa mereka
benar-benar orang yang beriman.
Firman Allah lagi dalam surah Ali Imran ayat 32 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad):
“Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu jika kamu berpaling
(menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang
yang kafir.”
Firman Allah ini juga dengan tegasnya
menyuruh manusia mentaati segala perintah Allah dan Rasul-Nya tanpa
ingkar walau sedikit pun. Allah s.w.t tidak menyukai orang-orang yang
ingkar, menderhaka atau kafir.
Firman Allah salam surah Ali Imran ayat 132 yang bermaksud:
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat.”
No comments:
Post a Comment