Saturday, September 15, 2012

Hikmah Diutuskan Rasul Kepada Manusia

Pada hari yang mulia ini, kita menyambut maulid Nabi sebagai memperingati hari kelahiran baginda SAW. Pada hari ini, ramai dari kalangan kita yang memperbanyakkan selawat dan salam ke atas RasuluLlah, lagi-lagi mereka yang menyertai majlis-majlis khusus selawat. Kemungkinan akan ada orang yang mempertikaikan beberapa perkara berkaitan dengan maulid Nabi, namun saya tidak mahu membawa perbincangan ke situ.

Apabila kita berbicara tentang Rasul, ramai yang akan "take for granted" para Rasul. Mereka belajar dari kecil tentang para Rasul, dan menghafal nama-nama mereka. Apabila mereka membesar, kecintaan kepada Rasul dan ittaba' (pengikutan) kepada sunnahnya semakin kurang. Mari kita melihat beberapa peranan Rasul yang begitu besar impaknya kepada kehidupan manusia.

Setiap Sesuatu Pasti Ada Hikmahnya

Matahari telah diciptakan agar ia dapat menjadi satu cahaya yang membakar dan menjadi sumber tenaga kepada kehidupan di muka bumi. Air pula telah diciptakan sebagai elemen asas dalam kebanyakan kehidupan, tanpanya mustahil sesuatu kehidupan boleh hidup. Air yang mendapat tenaga dari cahaya matahari mengewap menjadi awan, lalu angin meniupnya tempat asal pengewapan berlaku ke tempat lain untuk ia jatuh sebagai hujan. Binatang ternakan diciptakan untuk disembelih lalu dimakan oleh manusia. Bahkan apa sahaja yang dicipta pasti ada hikmah dan kegunaannya untuk manusia. Begitu juga para Rasul, mereka mempunyai peranan yang sangat besar kepada manusia keseluruhannya. Dengan adanya mereka, manusia dapat;
  1. Mengetahui hakikat kewujudan manusia.
  2. Mengenali Pencipta yang telah mencipta manusia.
  3. Sedar tentang kematian dan kehidupan selepasnya.
  4. Membaiki keadaan manusia sendiri.
Peranan yang besar ini tidak lari dari tugas umum para Rasul untuk membawa rahmat kepada kaum mereka, dengan pengecualian Nabi Muhammad SAW, sebagai penutup sekalian Nabi dan Rasul yang membawa risalah Islam ini kepada seluruh alam tanpa terbatas dengan masa, tempat, dan kelompok.
"Dan tidaklah Aku utuskanmu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk sekalian alam" (al-Anbiya', 21:107)
Mengetahui Hakikat Kewujudan Manusia

Hakikatnya, seorang yang terjaga fitrahnya dan tidak dirosakkan, akan sentiasa tertanya-tanya beberapa soalan asas. Ia adalah;
  • Dari mana kita datang?
  • Apa tujuan hidup kita?
  • Ke mana kita akan pergi setelah mati?
Nabi Ibrahim menjadi bukti yang tercatat di dalam al-Qur'an tentang kefitrahan manusia untuk mencari halatuju hidup. Lihatlah dan renunglah ayat-ayat berikut: 
Dan (ingatlah) di waktu Ibrahim berkata kepada ayahnya, Aazar, "Adakah kamu menjadikan berhala-berhala itu sebagai Tuhan? Sesungguhnya aku mendapati kamu dan kaummu berada dalam kesesatan yang nyata." Dan demikianlah Kami memperlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi dan (Kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang yang yakin. Ketika malam telah gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: "Inilah Tuhanku", tetapi tatkala bintang itu tenggelam dia berkata: "Saya tidak suka kepada yang tenggelam". Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: "Inilah Tuhanku." Tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata: "Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pasti aku termasuk orang yang sesat". Kemudian tatkala ia melihat matahari terbit, dia berkata: "Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar". Maka apabila matahari itu terbenam, dia berkata: "Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Rabb yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan." (al-An'am, 6:74-79)
Sebijak manapun manusia, mereka tidak akan mampu memberi definisi secara sendiri terhadap tujuan hidup mereka. Apa yang mampu mereka berikan hanyalah definisi-definisi yang terbatas dalam ruang lingkup kehidupan dunia yang sempit, sedangkan "...kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang mempedayakan" (3:185).

Atas dasar tersebut, manusia tidak akan dapat mengetahui hakikat kewujudannya tanpa pengutusan RasuluLlah oleh Allah kepadanya, bagi membawa risalah "kehidupan" bagi manusia.

Mengenali Pencipta

Satu kenistaan yang sangat besar adalah apabila seseorang manusia hidup di atas muka bumi tanpa mengenali siapakah penciptanya. Bahkan satu pembohongan yang lebih besar ialah apabila segala penciptaan disandarkan kepada "mother nature" dan bukannya Tuhan sekalian alam. Manusia yang tidak mendapat risalah kebenaran, mereka akan mengatakan bahawa bumi dan segala sistem di angkasa tercipta dengan "kebetulan". Manakala kejadian segala jenis kehidupan di muka bumi pula terjadi melalui teori evolusi. Dahulunya semua yang bernyawa berasal dari organisma yang sama, lalu ia terevolusi sehingga menjadi apa yang terjadi sekarang.

Dengan pengutusan RasuluLlah SAW dan juga para rasul sebelum baginda, manusia dapat menghubungkan dirinya dengan Tuhan. Manusia dapat mengenali Tuhan yang telah menciptakan mereka, dan mereka juga dapat mengenalpasti halatuju mereka.

Perbezaan orang yang mempunyai halatuju dan tidak adalah umpama seseorang yang membuat satu garisan di atas kertas yang putih. Dia menggerakkan penanya secara rawak sehinggalah kertas putih tersebut habis dipenuhi garisan tersebut. Menconteng tanpa halatuju, ke mana akan pergi, dan bila perlu habis menconteng. Berbeza dengan orang yang telah menandakan titik permulaan dan titik pengakhiran, mereka akan jelas di mana mereka harus berhenti dan jalan apa yang harus mereka ambil. Kerjanya juga lagi mudah, tidak perlu habis diconteng kertas putih baru tertanya, "Eh, ke mana aku nak pergi?".
"Dan tidaklah kami mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang rasulpun melain Kami telah wahyukan kepadanya bahawa: 'Tiada Tuhan melainkan Aku maka beribadahlah kepadaKu!' " (al-Anbiya', 21:25)
Para Rasul tidak diutuskan melainkan untuk membawa mesej yang begitu jelas ini.

Kematian dan Kehidupan Sesudahnya

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Semua manusia mempercayai hakikat ini, dan tidak ada yang dapat lari darinya. Apa yang berbeza ialah, bagaimana manusia mentafsirkan kematian dan kehidupan sesudahnya. Satu kefahaman yang popular di kalangan orang-orang barat seperti mana yang tergambar di dalam lirik sebuah lagu; "It's my life, it's now or never, I ain't gonna live forever...". Bagi mereka, kematian itu adalah kepastian, namun kehidupan itu satu tempat untuk merasai segala sesuatu sebelum tiba saat yang tidak ada patah balik. Maka dengan itu, terjadilah banyak gejala sosial dan jenayah, dan ia menjadi satu wabak yang tersebar ke seluruh dunia.

Ada pula yang meyakini bahawa kehidupan selepas kematian bergantung kepada sikap seseorang sebelum mati. Sekiranya baik, kemungkinan mereka akan dibangkitkan di dunia sebagai seorang yang lain. Jika jahat, mereka akan dihidupkan semula dengan "bentuk" yang baru, sama ada binatang, pokok dan seumpamanya.

Dengan adanya Rasul yang membawa risalah kebenaran, manusia mengetahui tentang syurga dan neraka. Manusia tahu tentang titian sirat, tentang hari hisab, tentang hari kebangkitan, tentang pengumpulan di padang mahsyar, tentang nikmat dan azab kubur, dan tentang segala perkara setelah mati.
"Rasul-rasul (yang Kami utuskan itu semuanya) pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang kafir dan berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia hujjah ke atas Allah (pada hari akhirat nanti) sesudah diutuskan Rasul." (an-Nisa', 5:165)
Orang-orang yang telah sampai risalah ini kepadanya, lalu mereka beriman dengannya dan beramal dengan segala tuntutannya, maka bagi kemenangan yang agung. Begitu pula sebaliknya.
"Barangsiapa yang dijauhkan dari api neraka dan memasuki syurga, maka dia telah berjaya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu daya" (Aali Imran, 3:185)
Membaiki Keadaan Manusia

Manusia yang pada asalnya tiada pedoman, hanya mengikuti apa yang dirasakan benar menurut pandangannya yang terbatas dan sempit. Kebenaran hanya dilihat menerusi perspektifnya sahaja. Maka tempat-tempat yang berbeza dan keadaan-keadaan yang berbeza menatijahkan kefahaman yang berbeza terhadap dunia, dan halatuju hidup.

Dengan kedatangan para Rasul kepada mereka, Allah mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dari kegelapan kejahilan kepada cahaya Islam, seperti mana yang pernah disebutkan oleh Rabi' bin Amir kepada Raja Parsi ketika membawa risalah Islam kepada Parsi:
Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami bebaskan (merdekakan) manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.
Allah juga telah membangkitkan Rasul dengan tujuan mendidik dan membimbing mereka dengan kebenaran risalah Islam:
"Dialah yang telah membangkitkan dari kalangan orang ummiy seorang rasul (Muhammad) yang (juga) merupakan dari kalangan mereka, dia membacakan ayat-ayatNya ke atas mereka, menyucikan mereka (dari kotoran jahiliyah), dan dia mengajar mereka al-kitab dan al-hikmah. Sedangkan sebelum itu, mereka berada di dalam kesesatan yang nyata" (al-Jumu'ah, 62:2)
Manusia-manusia yang telah jelas hakikat-hakikat asas tentang kejadian penciptaan diri mereka sendiri kemudiannya memainkan peranan yang besar untuk menyampaikan risalah yang mulia ini kepada orang lain pula. Mereka menjadi saksi kepada manusia seperti mana ar-Rasul menjadi saksi ke atas mereka;
"Dan demikian itu Kami jadikan kamu satu ummah pertengahan agar kamu menjadi saksi ke atas manusia, dan agar Rasul menjadi saksi ke atas kamu" (al-Baqarah, 2:143)
Selain dari itu, RasuluLlah SAW yang mulia juga diutuskan untuk memainkan peranan pengislahan akhlaq manusia; "Sesungguhnya aku dibangkitkan (sebagai Rasul) untuk menyempurnakan kemuliaan akhlaq" (Bukhari).

Kesimpulan

Kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW adalah kerana peranan yang begitu besar Baginda kepada kita sebagai umat akhir zaman. Pengorbanan yang ditunjukkan oleh Baginda di dalam sirahnya tidak menatijahkan sesuatu yang lain selain dari terbitnya rasa sayang dan cinta kepadanya. Namun hakikat ini hanya dapat dirasai jika seseorang benar-benar ikhlas di dalam meniliti sirah tersebut. Bahkan tidak cukup sekadar itu, amal menjadi bukti kecintaan seseorang. Adalah tidak melampau jika dikatakan bahawa orang yang benar-benar mencintai RasuluLlah adalah orang yang benar-benar mengamalkan sunnahnya. Bukan dari segi pemakaian semata-mata, atau pemakanan semata-mata, tetapi dalam seluruh aspek kehidupan, termasuk sunnahnya yang terbesar - dakwah.

Mari kita menambah cinta kepada RasuluLlah dengan meneruskan perjuangan baginda.

Sudahkah kita termasuk dalam golongan yang mencintai RasuluLlah?

No comments:

Post a Comment